Khamis, 29 November 2018

Pengorbanan Nizaruddin berbaloi


ARKIB : 03/08/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jika ditanya apa rahsia Nizaruddin Yusof mampu memenangi kasut emas pada usia 30 tahun, jawapannya ialah latihan tambahan ketika sesi latihan sebenar tamat.

Mungkin semangat seperti itu tidak ada di kalangan pemain era kini tetapi penyerang Perlis itu menganggap latihan tambahan yang dilakukannya dengan usaha sendiri banyak membantunya.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, dia mengambil peluang untuk berlatih sendiri bagi mempertajamkan penyudahnya sebagai menggalas tanggungjawab penyerang utama Perlis.

"Musim ini saya merasakan peranan saya dalam skuad Perlis sangat penting selaku penyerang utama oleh itu saya bertekad untuk menggandakan usaha ketika berlatih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia tidak menjangka sejak dari awal musim mampu untuk menjadi penjaring terbanyak malah tidak terlintas langsung dalam fikirannya meraih gelaran pemenang kasut emas.

"Bagaimanapun kejayaan peribadi saya ini tidak akan terhasil tanpa bantuan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.

"Mereka (pemain) bukan sahaja banyak membantu saya ketika dalam perlawanan malah semasa latihan juga ada pemain yang menemani saya ketika latihan tamat dengan melakukan hantaran," katanya.

Semangat Nizaruddin semakin bertambah apabila turut mendapat sokongan tinggi dari ibu, isteri dan anaknya.

"Keluarga saya juga tidak ketinggalan untuk memberi dorongan supaya saya mampu beraksi dengan baik dan menjaringkan lebih banyak gol dalam setiap perlawanan.

"Selepas ini sasaran utama saya saya ialah membawa Perlis mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan mengekalkan prestasi terbaik ini," katanya.

Ditanya mengenai cara jaringan yang paling kerap dilakukannya musim ini, Nizaruddin berkata: "Saya kerap menjaringkan gol dengan merembat, menampan dan menanduk bola yang dihantar dari rakan, malah saya juga pernah menyempurnakan sepakan percuma tiga atau empat kali yang menghasilkan jaringan.

"Bagaimanapun saya juga tidak terlepas dari cemuhan peminat fanatik jika tidak berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang tetapi saya menganggapnya sebagai asam garam dalam bola sepak."

Nizaruddin juga mengakui peminat Perlis mula menyamakannya dengan bekas penyerang import sensasi skuad Singa Utara, Philimon Chipeta.

"Secara kebetulan saya memakai nombor jersi yang pernah dipakai Chipeta dan menetap di rumahnya ketika bermain untuk Perlis," katanya.

Chipeta juga pernah memenangi kasut emas pada 2003 dengan menjaringkan 23 gol untuk Perlis.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YJ2c4Zc8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nizaruddin julang Perlis, diri sendiri


 
ARKIB : 02/08/2009
Nizaruddin julang Perlis, diri sendiri
DATUK Seri Shahidan Kassim (tengah) bersama-sama pemain skuad Perlis gembira selepas dinobatkan naib juara Piala Malaysia apabila menewaskan PDRM dengan jaringan 2-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar, semalam. – MINGGUAN/Faizal Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Nizaruddin Yusof menutup tirai Liga Super musim ini dengan dua jaringan yang bukan sahaja berjaya menjulang dirinya untuk ditabal sebagai penjaring terbanyak dengan 18 gol malah meletakkan Perlis selaku naib juara di belakang Selangor.

Gol Nizaruddin pada minit ke-53 dan 79 itu cukup untuk membolehkan Perlis menewaskan Polis Diraja Malaysia 2-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar semalam walaupun pada satu ketika ketinggalan hasil jaringan pemain lawan, Khairul Azwan Abdullah pada minit ke-51.

Malang bagi pencabar Nizaruddin untuk merebut gelaran Kasut Emas, Mohd. Ashaari Samsudin apabila dia hanya mampu menjaringkan satu gol ketika Terengganu seri 1-1 dengan Negeri Sembilan.

Pada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi itu, Ashaari yang terikat 16 gol dengan Nizaruddin, mencipta jaringan pada minit ke-21 sebelum S. Kunalan menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-84.

Kedah pula menduduki tempat ketiga musim ini selepas menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Ini diikuti Johor FC di tempat keempat selepas pasukan bertaraf kelab itu menewaskan Kelantan 2-1 pada perlawanan di Stadium Pasir Gudang.

Terengganu pula di tempat kelima diikuti Kelantan, Negeri Sembilan, KL PLUS, Kuala Muda Naza, Perak, UPB-MyTeam, Pulau Pinang, Pahang dan PDRM.

Kedudukan mutakhir itu diperoleh selepas turut mengambil kira keputusan perlawanan yang menyaksikan KL PLUS menewaskan Kuala Muda Naza 5-0 di Stadium KLFA Cheras dan Perak seri 1-1 dengan UPB-MyTeam di Stadium Perak, semalam.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5YJ0mPVcH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kasut Emas milik Nizaruddin Yusof


ARKIB : 01/08/2009
01/08/2009 11:21pm

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Penyerang Perlis, Nizaruddin Yusof menjurang nama sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini dengan 18 gol sekaligus dinobatkan pemenang Kasut Emas.

Pada perlawanan terakhir malam ini menentang Polis Diraja Malaysia, Nizaruddin menjaringkan kedua-dua gol untuk Perlis menang 2-1 di Stadiuam Utama Kangar. - Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_29.htm#ixzz5YIxpIHIk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 27 November 2018

Nizar idam Kasut Emas


ARKIB : 29/07/2009
KUALA LUMPUR - Semua trofi kejuaraan tempatan pernah dijulang, cuma anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak yang belum berada dalam koleksi penyerang Perlis, Nizaruddin Yusof.

Musim ini impian untuk memenangi anugerah yang tidak pernah dikecapinya hampir tercapai apabila bekas penyerang Selangor itu kini menduduki tangga teratas dalam senarai penjaring Liga Super dengan 16 gol ketika saingan hanya tinggal satu perlawanan.

Menjelang perlawanan terakhir musim ini menentang Polis, di Kangar Sabtu ini, Nizaruddin tekad untuk memastikan sentuhan gol terus menjadi, bukan sahaja demi memastikan kemenangan pasukannya tetapi juga memburu misi peribadi sebagai penjaring terbanyak.

''Saya telah menjulang semua piala, cuma Kasut Emas yang belum pernah saya rasai. Impian itu semakin hampir dan Sabtu ini pada perlawanan terakhir musim ini akan menentukan segala-galanya.

''Setelah misi memburu trofi Liga Super berakhir, kini sasaran saya ialah untuk anugerah penjaring terbanyak.

''Jika berjaya, maka lengkaplah trofi dan anugerah dalam karier saya,'' katanya ketika dihubungi semalam.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5Y4BD0D48
© Utusan Melayu (M) Bhd