Sabtu, 8 April 2017

Malaysia perlu lepasi Iraq



ARKIB : 20/10/2003
 Daripada ZAINU'L AZHAR ASHA'RI
 
JURULATIH negara, Allan Harris berbual dengan pemain kebangsaan, Nizaruddin Yusof pada sesi latihan di Malaysia, baru-baru ini. Harris mahu memastikan pasukan negara memberikan saingan menentang Iraq, hari ini.

MANAMA, BAHRAIN - Cuaca di Bahrain cukup panas, mampu meletihkan sesiapa sahaja tetapi bukannya kepada pemain-pemain skuad kebangsaan yang menjadikan bahangnya sebagai pembakar semangat untuk memberi tentangan sengit kepada Iraq dalam perlawanan pembukaan pusingan kedua kumpulan F bola sepak kelayakan Piala Asia 2004 di sini, hari ini.

Begitulah harapan pemain skuad kebangsaan dan jurulatih mereka, Allan Harris untuk menghadapi Iraq yang berjaya diikat tanpa jaringan dalam perlawanan pusingan pertama.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan ketara di antara perlawanan pusingan pertama dengan pusingan kedua yang memerlukan pemain skuad kebangsaan merencanakan sesuatu kali ini bagi menduduki sekurang-kurangnya tangga kedua kumpulan supaya melayakkan Malaysia ke pusingan akhir Piala Asia di Beijing, China tahun depan.

Tempoh sehingga 24 Oktober di Bahrain agak perit kerana memerlukan perancangan rapi untuk membolehkan Malaysia mengekalkan kedudukan tangga kedua selepas berakhir pusingan pertama.

Menurut Harris, pemain sedia ada perlu berusaha lebih keras supaya barisan negara tidak pincang selepas kehilangan ramai tonggak akibat kecederaan iaitu, penjaga gol, Azmin Azram Aziz, Akhmal Rizal Rakhli, Zainizam Marjan, K. Nanthakumar, Subri Sulong, Victor Andrag dan Nizam Jamil.

``Tentu perit kerana kita kehilangan ramai tonggak kerana kekuatan sesebuah pasukan ialah di sepanjang barisan, bermula dari pertahanan hingga ke atas,'' katanya ketika ditemui di hotel rasmi pemain di sini, semalam.

Sehubungan itu, kata Harris, pihaknya telah mengkaji beberapa perkara yang perlu untuk mengatasi masalah tersebut di samping mengambil kira aspek lain supaya tidak mencacatkan perencanaan skuad kebangsaan bagi mengekalkan rentak sedia ada.

``Disebabkan itu, kita berada di Bahrain agak awal supaya kita dapat mengatur rancangan, menyesuaikan diri dengan cuaca di samping pemain dapat berehat akibat keletihan kerana tempoh penerbangan yang panjang.

``Saya rasa kita sudah bersedia kerana berada di sini lebih awal sedikit, jadi dapatlah pemain berehat kerana tempoh perjalanan yang panjang di samping dapat menjalani latihan rapi kerana mempunyai masa berbuat demikian,'' kata Harris.

Mengenai Iraq, Harris tidak menafikan bahawa skuad negara yang baru sahaja dilanda peperangan itu kuat kerana pemain-pemainnya mempunyai ketinggian serta tubuh badan tegap di samping kemahiran mengawal bola.

Kata Harris, pastinya penyerang seperti penjaring terbanyak dalam pusingan pertama, Younis Khalaf menjadi sandaran Iraq tetapi skuad kebangsaan juga mempunyai keupayaan menanganinya.

``Kenapa perlu risaukan mereka (Iraq) jika dalam pusingan pertama kita boleh sekat, sudah tentu kita dapat melakukannya sekali lagi kali ini,'' tambahnya.

Walaupun menyedari pemain bimbingannya bakal beraksi di gelanggang lain serta ditambah faktor cuaca dan sebagainya, Harris berkata, keadaan itu perlu ditangani oleh mana-mana pemain.

``Sebagai pemain, biar pasukan mana sekalipun, sudah tentu berdepan keadaan sebegini, kesukaran adalah perkara yang perlu diatasi.'' katanya. - Utusan

BARISAN MALAYSIA:

Penjaga gol: Syamsuri Mustafa, Mohamed Sany Fahmi, Faizal Rashid.

Pertahanan: Rosdi Talib, Redzuan Radzi, Yosri Derma Raju, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Sahabuddin Hussain, Irwan Fadli Idrus, Aziz Ismail, Mazuki Yusof, M.Elangoo.

Tengah: Hairuddin Omar, Juzaili Samion, K.Rajan, Shukor Adan, Eddy Helmi Abdul Manan, Indra Putra Mahayuddin, Tengku Hazman Raja Hassan, Gilbert Cassedy Gawing.

Penyerang: Nizaruddin Yusoff, Fadzli Saari.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ddyRlk6K
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan