Khamis, 29 November 2018

Pengorbanan Nizaruddin berbaloi


ARKIB : 03/08/2009
Oleh FERZALFIE FAUZI
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Jika ditanya apa rahsia Nizaruddin Yusof mampu memenangi kasut emas pada usia 30 tahun, jawapannya ialah latihan tambahan ketika sesi latihan sebenar tamat.

Mungkin semangat seperti itu tidak ada di kalangan pemain era kini tetapi penyerang Perlis itu menganggap latihan tambahan yang dilakukannya dengan usaha sendiri banyak membantunya.

Bekas penyerang kebangsaan itu berkata, dia mengambil peluang untuk berlatih sendiri bagi mempertajamkan penyudahnya sebagai menggalas tanggungjawab penyerang utama Perlis.

"Musim ini saya merasakan peranan saya dalam skuad Perlis sangat penting selaku penyerang utama oleh itu saya bertekad untuk menggandakan usaha ketika berlatih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, dia tidak menjangka sejak dari awal musim mampu untuk menjadi penjaring terbanyak malah tidak terlintas langsung dalam fikirannya meraih gelaran pemenang kasut emas.

"Bagaimanapun kejayaan peribadi saya ini tidak akan terhasil tanpa bantuan jurulatih dan rakan-rakan sepasukan.

"Mereka (pemain) bukan sahaja banyak membantu saya ketika dalam perlawanan malah semasa latihan juga ada pemain yang menemani saya ketika latihan tamat dengan melakukan hantaran," katanya.

Semangat Nizaruddin semakin bertambah apabila turut mendapat sokongan tinggi dari ibu, isteri dan anaknya.

"Keluarga saya juga tidak ketinggalan untuk memberi dorongan supaya saya mampu beraksi dengan baik dan menjaringkan lebih banyak gol dalam setiap perlawanan.

"Selepas ini sasaran utama saya saya ialah membawa Perlis mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan mengekalkan prestasi terbaik ini," katanya.

Ditanya mengenai cara jaringan yang paling kerap dilakukannya musim ini, Nizaruddin berkata: "Saya kerap menjaringkan gol dengan merembat, menampan dan menanduk bola yang dihantar dari rakan, malah saya juga pernah menyempurnakan sepakan percuma tiga atau empat kali yang menghasilkan jaringan.

"Bagaimanapun saya juga tidak terlepas dari cemuhan peminat fanatik jika tidak berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang tetapi saya menganggapnya sebagai asam garam dalam bola sepak."

Nizaruddin juga mengakui peminat Perlis mula menyamakannya dengan bekas penyerang import sensasi skuad Singa Utara, Philimon Chipeta.

"Secara kebetulan saya memakai nombor jersi yang pernah dipakai Chipeta dan menetap di rumahnya ketika bermain untuk Perlis," katanya.

Chipeta juga pernah memenangi kasut emas pada 2003 dengan menjaringkan 23 gol untuk Perlis.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz5YJ2c4Zc8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan