Ahad, 10 September 2017

Nizaruddin, Irwan sudah bersedia



ARKIB : 28/12/2006


KUCHING – Dua pemain berpengalaman yang dipanggil untuk latihan skuad negara ke Kejohanan Bola Sepak ASEAN, Nizaruddin Yusof dan Irwan Fadli Idrus menyatakan kesediaan untuk menyarung kembali jersi kebangsaan, lapor SAYED HISHAM IDRIS.

Menurut kedua-dua pemain itu, kepercayaan jurulatih kebangsaan Norizan Bakar menyenaraikan semula mereka menyertai 23 pelatih merupakan satu khabar yang dinanti-nantikan.

Nizaruddin, 27, yang pernah beraksi di posisi serangan skuad kebangsaan berkata dia masih berminat untuk beraksi di peringkat antarabangsa dan berazam untuk memberikan yang terbaik.

Menurutnya, dia tidak menyangka masih diberi kepercayaan oleh Norizan walaupun sudah lebih setahun tidak beraksi bersama pasukan negara.

‘‘Kali terakhir saya beraksi (untuk pasukan kebangsaan) ialah pada kempen kelayakan Piala Dunia 2006, lebih setahun lalu dan sejurus mendapat panggilan daripada Norizan baru-baru ini saya terus memberi persetujuan.

‘‘Saya memang bersedia bila-bila masa dan sentiasa bersemangat untuk beraksi demi pasukan kebangsaan,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Nizaruddin yang pernah mewakili Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan musim ini bersama UPB-MyTeam dalam Liga Perdana berkata, dia tidak berdepan masalah kecederaan untuk beraksi pada saingan kompetitif.

Malah, katanya pengalaman sepanjang kira-kira tujuh tahun bersama pasukan negara akan digunakan mencurah khidmat bersama pasukan kebangsaan.

‘‘Berdasarkan senarai pelatih yang dipanggil, saya rasa tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain seperti Hairuddin Omar, Irwan Fadli Idrus, Syukur Adan, Norhafiz Zamani dan ramai lagi kerana kami pernah bermain dalam satu pasukan sebelum ini,’’ katanya.

Kesediaan yang sama juga dilaungkan oleh pemain sayap kiri, Irwan Fadli yang kali terakhir beraksi untuk pasukan kebangsaan juga pada kempen kelayakan Piala Dunia 2006 di bawah kendalian jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.

Katanya, dia sedia memberikan komitmen untuk latihan bersama skuad kebangsaan walaupun dalam masa yang sama terpaksa memikirkan pasukannya Pahang dalam aksi Liga Super.

‘‘Saya akan membalas kepercayaan jurulatih Norizan menyenaraikan saya sebagai antara pelatih ke skuad kebangsaan dengan memberikan yang terbaik,’’ katanya yang pernah beraksi pada kejohanan Piala Tiger, Sukan SEA dan kelayakan Piala Dunia 2006.

Nizaruddin dan Irwan Fadli merupakan antara 23 pemain yang dipanggil oleh Norizan semalam menyertai Kejohanan ASEAN bulan depan.

Antara pemain berpengalaman lain yang turut dipanggil termasuk Chan Wing Hoong, K. Nanthakumar, Muhammad Khaironnisam Shahabuddin, Azizon Kadir, Hardi Jaafar dan Eddy Helmi Manan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sHjIYk7p
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan