ARKIB : 30/12/2000
Usaha terakhir FAM -- Jika
rayuan penggantungan Nizaruddin ditolak KLFA
AKSI Nizaruddin Yusof (kiri)
pada pertemuan Piala Tiger 2000 di antara Malaysia dan Vietnam di Songkhla 5
November lalu.
PENYERANG kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin Yusof menyerahkan nasibnya kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia
(FAM) jika rayuannya terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan oleh bekas
majikannya, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) ditolak.
Menurut penyerang berusia 22
tahun itu, dia akan membuat rayuan kepada FAM jika KLFA tetap dengan keputusan
menggantungnya selama empat bulan bermula minggu lalu.
"Tetapi saya percaya KLFA
akan mempertimbangkan rayuan saya dan mengubah keputusan mereka dengan
meringankan hukuman. Mereka tentu tidak mahu memusnahkan kerjaya saya.
"Saya akui hukuman yang
dikenakan amat berat bagi saya. Saya juga akui telah membuat kesilapan dan saya
minta pertimbangan mereka untuk meringankan hukuman.
"Jika rayuan saya ditolak,
usaha terakhir saya adalah merujuk kepada FAM,'' katanya ketika dihubungi di
Melaka, semalam.
Nizaruddin digantung empat
bulan oleh KLFA minggu lalu kerana pemain itu didapati ponteng latihan selama
10 hari.
KLFA berkata, Nizaruddin masih
di bawah kontrak KLFA sehingga 31 Disember ini dan dia perlu hadir setiap
latihan yang ditetapkan dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, Nizaruddin tidak
hadir dengan alasan dia telah pun mengikat kontrak dengan juara Perdana Satu,
Selangor untuk kempen baru Liga Malaysia musim depan.
Penggantungan Nizaruddin
menjejaskan peluangnya untuk beraksi dalam perlawanan awal Piala FA dan Liga
Perdana yang dijadual awal April ini.
Selain Nizaruddin, bekas pemain
Olimpik, Mohd. Shawal Johadi turut digantung empat bulan oleh KLFA. Shawal
mengikut Nizaruddin berhijrah ke Selangor.
Menurut Nizaruddin, dia belum
menyerahkan surat rayuan kepada KLFA tetapi akan berbuat demikian dalam minggu
ini.
"Saya kini sedang berhari
raya di kampung di Melaka tetapi akan pulang ke Kuala Lumpur esok.
"Mungkin saya akan
serahkan surat rayuan kepada KLFA esok bersama-sama surat Shawal yang berada
bersama saya,'' katanya.
Nizaruddin berkata, peluangnya
untuk beraksi untuk pasukan kebangsaan yang bakal mengharungi kelayakan Piala
Dunia 2002 Mac ini, mungkin tidak terjejas.
"Tetapi ia terpulang
kepada FAM dan KLFA. Saya hanya akan membuat rayuan kepada kedua-duanya,''
ujarnya.
November lalu, Nizaruddin
membantu Malaysia muncul pemenang tempat ketiga pada Kejohanan Piala Tiger 2000
di Thailand.
Piala Tiger adalah aksi ketiga
pemain itu bersama pasukan kebangsaan di peringkat antarabangsa selepas
kelayakan Piala Asia 2000 dan Pesta bola Merdeka 2000
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bIOB7w9P
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan