ARKIB : 10/01/2001
Nizaruddin kini mempunyai peluang
terakhir dengan merujuk kesnya kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM.
HARAPAN penyerang kebangsaan,
Mohd. Nizaruddin Yusof untuk mewakili negara dalam kelayakan Piala Dunia 2002
Mac ini, berkubur apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) mengekalkan
hukuman gantung empat bulan ke atasnya, semalam.
Lembaga Rayuan KLFA membuat
keputusan berkenaan selepas bermesyuarat di Kuala Lumpur, semalam.
Pengerusinya, Ruslin Hassan
ketika mengumumkan keputusan mesyuarat itu berkata, Nizaruddin dan seorang lagi
pemain terbabit, Mohd. Shawal Johadi telah melanggar syarat kontrak pemain di
bawah Fasal 5A dan 5E dan pengekalan hukuman empat bulan itu adalah setimpal.
"Hukuman itu diputuskan
dengan harapan ia memberi pengajaran kepada mana-mana pemain agar tidak
mengambil mudah ikatan kontrak yang termeterai,'' kata Ruslin.
Bagaimanapun, Nizaruddin
mempunyai satu lagi peluang iaitu merujuk kepada Jawatankuasa Status Pemain
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menentukan nasibnya dalam pasukan
kebangsaan.
Nizaruddin diberi tempoh tujuh
hari bermula dari tarikh keputusan mesyuarat semalam untuk membuat rayuan
kepada FAM.
Nizaruddin, 22, yang membantu
Malaysia menduduki tempat ketiga pada Kejohanan Piala Tiger di Thailand November
lepas, digantung permainan selama empat bulan dan didenda sebanyak RM500 oleh
KLFA kerana tidak menghadiri latihan selama 10 hari.
Nizaruddin juga menimbulkan
kemarahan KLFA kerana mengkritik persatuan itu secara terbuka dalam interviunya
dengan sebuah majalah tempatan.
Nizaruddin dan Shawal membuat
rayuan kes itu dan hadir mendengar keputusan kes mereka, semalam.
Pemangku Setiausaha KLFA, Goh Ah
Chai yang juga bendahari persatuan berkata, KLFA terpaksa membuat keputusan itu
sebagai pengajaran kepada pemain lain agar tidak mengambil mudah perjanjian
mereka dengan persatuan itu.
"Kami bukan sengaja mahu
menghukum pemain terutamanya yang masih muda seperti Nizaruddin tetapi kami
terpaksa melakukannya,'' kata Goh.
"Kami sudah mengenalinya
begitu lama kerana Nizaruddin sudah bersama kami sejak usianya 14 tahun, jadi
keputusan ini terpaksa kami ambil dengan berat hati.''
Nizaruddin dan Shawal mempunyai
kontrak dengan KLFA sehingga penghujung tahun lepas tetapi kedua-duanya ponteng
latihan kerana berpendapat mereka tidak perlu hadir kerana sudah menyertai
pasukan lain, iaitu Selangor.
Sebelum ini, kedua-dua pemain itu
mengakui kesalahan masing-masing dan bersedia membayar balik pampasan gaji
bulan terakhir mereka bersama KLFA.
Keputusan KLFA itu bermakna
Nizaruddin tidak dapat bermain dengan mana-mana pasukan sehingga penghujung
April.
Pusingan pertama kelayakan Piala Dunia
akan berlangsung pada 3 hingga 11 Mac di Hong Kong manakala pusingan kedua pula
di Doha, Qatar pada 20 hingga 25 Mac.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4bJ6JhoP1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan