Selasa, 14 Mac 2017

Nizaruddin serah nasibnya kepada PSC

ARKIB : 17/01/2001
Nizaruddin bersama seorang lagi yang terbabit, Mohd. Shawal Johadi menyerahkan surat rayuan masing-masing kepada Penolong Setiausaha FAM, Datuk Yap Nyim Keong.

Yap mengesahkan menerima surat rayuan dua pemain berkenaan dan berkata, PSC akan bermesyuarat dalam waktu terdekat ini untuk membincangkan kes mereka.

Nizaruddin ketika dihubungi semalam berkata, antara kandungan surat rayuannya ialah meminta kebijaksanaan PSC menangani kesnya.

"Saya minta mereka (PSC) menimbangkan rayuan saya. Saya mengakui telah melakukan kesilapan dan memandangkan ia adalah kesilapan pertama saya, saya minta pertimbangan sebaiknya,'' ujarnya.

Menurut Nizaruddin, dia benar-benar mahu terus menyumbang bakti kepada negara dan kelayakan Piala Dunia 2002 Mac ini adalah satu lagi peluangnya untuk terus menunjukkan kebolehan di peringkat antarabangsa.

"Saya sudah lama menanam hasrat tinggi membantu Malaysia sekurang-kurangnya layak ke pusingan kedua dalam kelayakan ini.

"Tetapi mungkin sudah nasib saya terbabit dalam masalah ini yang saya akui akibat kecuaian sendiri.

"Sebab itu saya amat berharap FAM dapat membantu saya,'' katanya.

Nizaruddin dan Shawal, yang juga berada dalam pasukan bawah 23 tahun kebangsaan yang bakal menghadapi Sukan SEA XXI di Kuala Lumpur September ini, digantung empat bulan dan denda RM500 oleh bekas majikan mereka, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) kerana didapati bersalah melanggar syarat kontrak pemain.

Dua pemain itu didapati melanggar syarat di bawah Fasal 5A dan 5E sebaik mengikat kontrak dengan pasukan jiran, Selangor.

Mereka membuat rayuan tetapi ditolak oleh Lembaga Rayuan KLFA yang mengekalkan hukuman dan denda, menjadikan hanya FAM sebagai rujukan terakhir.

Tempoh penggantungan empat bulan itu menyebabkan pemain berusia 22 tahun itu tidak boleh bermain dalam mana-mana kejohanan termasuk kelayakan Piala Dunia.

Menurut Nizaruddin, dia kini sedang mengembalikan kecergasannya dengan menjalani latihan sendiri bersama Shawal.

"Saya mahu turunkan berat badan saya selepas berehat panjang sejak kembali dari Piala Tiger lalu.

"Buat masa ini, saya berjogging setiap hari dan kecergasan saya nampak semakin baik,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4bLfW6rMm © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan