ARKIB : 01/01/2001
Sesudah membantu Malaysia
menduduki tempat ketiga pada Piala Tiger 2000 lalu, sasaran Nizaruddin ialah
membantu negara layak ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2002, Mac ini.
Penyerang kebangsaan itu jelas
diulit bimbang kerana jika KLFA menolak rayuannya, harapannya untuk beraksi
dalam kelayakan itu turut musnah.
"Saya mahu menjadi pemain
yang sentiasa mampu menghadirkan gembira buat bola sepak negara.
"Saya masih baru di
peringkat antarabangsa dan perlu banyak menimba pengalaman. Jika saya tidak dapat
bermain dalam kelayakan Piala Dunia ini, sasaran utama saya sudah menyimpang.
"Mungkin saya masih ada
peluang untuk beraksi pada Sukan SEA 2001 tetapi prestasi saya mungkin tidak
pada tahap terbaik kerana tidak dapat bermain dalam perlawanan lebih kompetitif
sebelum itu,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Batu Caves, Selangor,
semalam.
Justeru, pemain berusia 22
tahun itu amat berharap Lembaga Rayuan KLFA akan mempertimbangkan rayuannya.
"Sekurang-kurangnya mereka
dapat meringankan hukuman supaya saya dapat terus berkhidmat kepada pasukan
kebangsaan,'' ujarnya.
Nizaruddin akan mengemukakan
surat rayuan kepada KLFA esok. Lembaga Rayuan dijangka akan bermesyuarat pada
hari yang sama dan membuat kata putus.
Kontroversi membabitkan pemain
itu timbul berikutan perpindahannya ke Selangor untuk kempen Liga Malaysia
musim depan tidak dimaklumkan kepada majikannya.
KLFA berkata, Nizaruddin juga
tidak hadir latihan pasukan selama 10 hari ketika masih di bawah kontrak selain
membuat kenyataan kepada media mengenai persatuan itu.
Kontroversi itu berakhir dengan
Nizaruddin digantung empat bulan.
Bagaimanapun dia dan seorang
lagi pemain yang terbabit dengan masalah sama, Mohd. Shawal Johadi dibenarkan
membuat rayuan dalam tempoh dua minggu selepas hukuman dibuat.
"Kelayakan Piala Dunia ini
adalah peluang terbaik saya untuk terus membuktikan kemampuan. Saya mahu
membantu pasukan negara ke tahap lebih dihormati,'' ujarnya.
Kali pertama Nizaruddin beraksi
di peringkat antarabangsa ialah dalam kelayakan Piala Asia di Kuala Lumpur dan
Bangkok, April lalu.
Dia terus mendapat kepercayaan
negara untuk membawa cabaran pada Pestabola Merdeka 2000 dan terakhir pada
Piala Tiger 2000 di Bangkok.
Nizaruddin juga dikatakan akan
menjadi antara penyerang utama pasukan negara pada Sukan SEA 2001 di Kuala
Lumpur.
Acara bola sepak pada temasya
itu hanya dihadkan kepada pemain berusia bawah 23 tahun.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4bIW0V63M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan