Jumaat, 22 Disember 2017

Rezeki anak kedua julang Nizaruddin Yusoff


 

ARKIB : 23/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Nizaruddin Yusoff

KUALA LUMPUR - Kekecewaan bersama skuad negara yang disulami kehadiran cahaya mata baru seperti membawa azimat buat penyerang Perlis, Nizaruddin Yusoff untuk bangkit sebagai penjaring terbanyak persaingan bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Dia mengubah kegagalan Piala Suzuki AFF dan Kelayakan Piala Asia, baru-baru ini menjadi sumber tenaga positif malah kelahiran anak perempuan, tiga hari lalu semakin menajamkan sentuhannya sehingga berjaya mengumpul 10 gol dalam Liga Super dan Piala FA.

"Saya baru menyambut kehadiran anak kedua di Hospital Sungai Buloh. Mungkin (kejayaan penjaring terbanyak) ini juga hasil rezeki 'orang baru'. Alhamdulillah selepas gagal di Phuket dan tercedera dalam Piala Asia itu, saya juga rasa lebih bersemangat dan sentuhan makin menjadi.

"Tanpa pemain import pada musim ini turut meningkatkan keyakinan dan keazaman untuk saya membuktikan sesuatu," katanya yang menjaringkan satu gol ketika Perlis mengatasi PKNS 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Dia kini berkongsi tangga teratas senarai penjaring Liga Super 2009 dengan mengumpul lima gol bersama-sama pemain Selangor, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam) dan Indra Putra Mahayuddin (Kelantan).

Nizaruddin, 30, yang belum menamakan cahaya mata barunya itu, mengakui ketiadaan pemain import turut mengembalikan prestasinya yang dianggap ramai peminat tanah air seperti sudah berpenghujung atau tenggelam dengan deretan penyerang muda.

"Keyakinan ini kembali pada diri saya seperti mana ketika pemain import ditiadakan antara 1999 hingga 2001," katanya yang pernah beraksi untuk Kuala Lumpur, Selangor, Public Bank, MPPJ, UPB-MyTeam dan Polis.

"Bagi saya, selagi sesiapa atau pasukan mana yang memerlukan kita, jangan sekali-kali kita sia-siakan," katanya yang kali terakhir menjaringkan gol untuk skuad negara ketika menewaskan Afghanistan 6-0 pada Pestabola Merdeka di Bukit Jalil, Oktober lalu.

Nizaruddin bagaimanapun tidak lupa menghargai sumbangan rakan sepasukan Singa Utara musim ini terutamanya majoriti pemain muda hasil garapan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sehingga mereka menduduki tempat ketiga Liga Super dan mempunyai kelebihan satu gol untuk ke suku akhir Piala FA.

"Saya dengan gandingan serangan, Ahmad Fakri Saarani (berusia 20 tahun) juga sudah semakin serasi. Hanya tiga pemain (selain Fauzie Nan dan Azi Shahril Azmi) yang agak senior di Perlis dan tugas kami lebih mudah dalam membimbing pemain muda di setiap bahagian," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz520SBa9qo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan