ARKIB : 05/01/2009
KUALA LUMPUR - Jika ada
anugerah pemain terbaik perlawanan dalam pertemuan antara Perlis dan Terengganu
di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin sudah tentu ia menjadi milik
penyerang Singa Utara, Mohd. Nizaruddin Yusof, lapor FERZALFIE FAUZI.
Perkara itu disuarakan oleh
jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim yang menganggap Nizaruddin beraksi
cemerlang membantu Singa Utara mencatat kemenangan pertama dalam Liga Super di
tempat lawan 3-2 ke atas Sang Penyu.
''Saya terkejut menyaksikan persembahan
Nizaruddin semalam (kelmarin), dia memberikan komitmen 100 peratus di dalam
padang termasuk menghasilkan dan mencipta jaringan,'' katanya ketika dihubungi
Utusan Malaysia semalam.
Jelasnya, Nizaruddin bukan
sahaja berjaya membantu Perlis mengutip tiga mata tetapi berjaya memecah rekod
Terengganu yang tidak pernah tewas di stadium tersebut.
''Saya suka sikap yang
ditonjolkan oleh semua pemain... mereka memberikan komitmen yang tinggi
walaupun ada beberapa kelemahan kecil yang perlu diperbaiki.
''Saya juga berpuas hati dengan
pemain muda seperti Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Redzuan Othman dan Wan Khairul
Faiz Kamaruddin cuma mereka memerlukan sedikit masa untuk beraksi dengan lebih
cemerlang ,'' kata Irfan.
Menurutnya, pemain seperti
Redzuan atau senang dipanggil 'tembakau' memang menunjukkan permainan yang
bagus tetapi perlu mempunyai daya tahanan tinggi.
''Saya juga tidak hairan dengan
kemampuan Chan Wing Hoong yang mampu menjaringkan gol pertamanya musim ini
kerana dia seorang pemain berpengalaman.
''Saya memasukkannya pada
separuh masa kedua menggantikan Es Lizuan Zahid Amir yang kurang menyerlah dan
ternyata dia (Wing Hoong) mampu menggalas cabaran yang diberikan,'' katanya.
Ditanya mengenai prestasi
penjaga golnya, Mohd. Farizal Marlias, Irfan berkata, persembahan yang
ditunjukkan bekas pemain Shahzan Muda itu juga memuaskan walaupun bolos dengan
dua jaringan.
''Saya menganggap perlawanan
menentang Pahang juga sama penting dan bagi saya tiada perlawanan yang tidak
penting terutamanya pada awal musim ini.
''Saya akan kekalkan barisan
yang sama dan berharap mereka dapat memberi fokus dalam perlawanan berikutnya
nanti,'' kata jurulatih kelahiran Kelantan itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51Hg87Nqi
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan