Jumaat, 22 Disember 2017

Rezeki anak kedua julang Nizaruddin Yusoff


 

ARKIB : 23/02/2009
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Nizaruddin Yusoff

KUALA LUMPUR - Kekecewaan bersama skuad negara yang disulami kehadiran cahaya mata baru seperti membawa azimat buat penyerang Perlis, Nizaruddin Yusoff untuk bangkit sebagai penjaring terbanyak persaingan bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Dia mengubah kegagalan Piala Suzuki AFF dan Kelayakan Piala Asia, baru-baru ini menjadi sumber tenaga positif malah kelahiran anak perempuan, tiga hari lalu semakin menajamkan sentuhannya sehingga berjaya mengumpul 10 gol dalam Liga Super dan Piala FA.

"Saya baru menyambut kehadiran anak kedua di Hospital Sungai Buloh. Mungkin (kejayaan penjaring terbanyak) ini juga hasil rezeki 'orang baru'. Alhamdulillah selepas gagal di Phuket dan tercedera dalam Piala Asia itu, saya juga rasa lebih bersemangat dan sentuhan makin menjadi.

"Tanpa pemain import pada musim ini turut meningkatkan keyakinan dan keazaman untuk saya membuktikan sesuatu," katanya yang menjaringkan satu gol ketika Perlis mengatasi PKNS 2-1 dalam perlawanan pertama pusingan kedua Piala FA di Stadium Petaling Jaya, kelmarin.

Dia kini berkongsi tangga teratas senarai penjaring Liga Super 2009 dengan mengumpul lima gol bersama-sama pemain Selangor, Amri Yahyah, Norshahrul Idlan Talaha (UPB-MyTeam) dan Indra Putra Mahayuddin (Kelantan).

Nizaruddin, 30, yang belum menamakan cahaya mata barunya itu, mengakui ketiadaan pemain import turut mengembalikan prestasinya yang dianggap ramai peminat tanah air seperti sudah berpenghujung atau tenggelam dengan deretan penyerang muda.

"Keyakinan ini kembali pada diri saya seperti mana ketika pemain import ditiadakan antara 1999 hingga 2001," katanya yang pernah beraksi untuk Kuala Lumpur, Selangor, Public Bank, MPPJ, UPB-MyTeam dan Polis.

"Bagi saya, selagi sesiapa atau pasukan mana yang memerlukan kita, jangan sekali-kali kita sia-siakan," katanya yang kali terakhir menjaringkan gol untuk skuad negara ketika menewaskan Afghanistan 6-0 pada Pestabola Merdeka di Bukit Jalil, Oktober lalu.

Nizaruddin bagaimanapun tidak lupa menghargai sumbangan rakan sepasukan Singa Utara musim ini terutamanya majoriti pemain muda hasil garapan jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim sehingga mereka menduduki tempat ketiga Liga Super dan mempunyai kelebihan satu gol untuk ke suku akhir Piala FA.

"Saya dengan gandingan serangan, Ahmad Fakri Saarani (berusia 20 tahun) juga sudah semakin serasi. Hanya tiga pemain (selain Fauzie Nan dan Azi Shahril Azmi) yang agak senior di Perlis dan tugas kami lebih mudah dalam membimbing pemain muda di setiap bahagian," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz520SBa9qo

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 16 Disember 2017

Aksi Liga Super pendorong Nizaruddin

ARKIB : 18/01/2009
KUALA LUMPUR - Nizaruddin Yusof tidak pernah memperlekehkan setiap panggilan menyertai skuad negara sekalipun peminat bola sepak tanah air menyifatkannya terlalu tua untuk memikulnya.

Malah, penjaring terbanyak Liga Super musim 2009 setakat ini dengan lima gol dari Perlis ini tetap berbangga dan sentiasa terangsang dengan peluang itu, di sebalik kecaman terhadap skuad negara kerana kegagalan pada Piala Suzuki AFF di Phuket, bulan lalu.

"Saya tidak kisah apa orang kata. Setiap kali dipanggil berbakti, saya tekad beri yang terbaik walaupun sukar untuk memasuki kesebelasan utama negara," katanya menjelang perlawanan Kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, Rabu ini.

Nizaruddin, 30, cukup menyedari prestasi dan sentuhan penyudah Safee Sali sentiasa konsisten dan di tahap terbaik sekarang sama ada ketika mewakili Selangor mahupun negara sekali gus semakin menyulitkan laluannya untuk diturunkan sebagai penyerang.

Namun, dia turut konsisten menjaringkan gol buat Singa Utara dalam tiga daripada empat perlawanan Liga Super termasuk muncul pemain sulung mencipta hatrik musim ini ketika menewaskan Pahang 3-2 di Kangar, 6 Januari lalu.

"Ia sentiasa terpulang kepada jurulatih, B. Sathianathan untuk menurunkan barisan terbaik negara apatah lagi dia cenderung menggunakan Safee sebagai penyerang tunggal dengan sokongan Hairuddin Omar atau Zaquan Adha Radzak mahupun Indra Putra Mahayuddin.

"Namun, saya percaya fokus saya ke perlawanan ini lebih baik setelah banyak musibah peribadi yang datang dan agak menjejaskan saya ketika Pestabola Merdeka dan Piala Suzuki AFF lalu," katanya.

Nizaruddin bagaimanapun pernah digandingkan dengan Safee ketika satu persahabatan menentang kelab Slovakia, Slovan Bratislava, September lalu tetapi pertandingan sebenar lebih banyak menyaksikannya turun sebagai pemain gantian bagi 20 minit terakhir
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz51UJ0whDJ

© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, 14 Disember 2017

Nizaruddin pemain terbaik - Irfan

ARKIB : 05/01/2009
KUALA LUMPUR - Jika ada anugerah pemain terbaik perlawanan dalam pertemuan antara Perlis dan Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin kelmarin sudah tentu ia menjadi milik penyerang Singa Utara, Mohd. Nizaruddin Yusof, lapor FERZALFIE FAUZI.

Perkara itu disuarakan oleh jurulatih Perlis, Irfan Bakti Abu Salim yang menganggap Nizaruddin beraksi cemerlang membantu Singa Utara mencatat kemenangan pertama dalam Liga Super di tempat lawan 3-2 ke atas Sang Penyu.

''Saya terkejut menyaksikan persembahan Nizaruddin semalam (kelmarin), dia memberikan komitmen 100 peratus di dalam padang termasuk menghasilkan dan mencipta jaringan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Jelasnya, Nizaruddin bukan sahaja berjaya membantu Perlis mengutip tiga mata tetapi berjaya memecah rekod Terengganu yang tidak pernah tewas di stadium tersebut.

''Saya suka sikap yang ditonjolkan oleh semua pemain... mereka memberikan komitmen yang tinggi walaupun ada beberapa kelemahan kecil yang perlu diperbaiki.

''Saya juga berpuas hati dengan pemain muda seperti Ahmad Fakri Saarani, Mohd. Redzuan Othman dan Wan Khairul Faiz Kamaruddin cuma mereka memerlukan sedikit masa untuk beraksi dengan lebih cemerlang ,'' kata Irfan.

Menurutnya, pemain seperti Redzuan atau senang dipanggil 'tembakau' memang menunjukkan permainan yang bagus tetapi perlu mempunyai daya tahanan tinggi.

''Saya juga tidak hairan dengan kemampuan Chan Wing Hoong yang mampu menjaringkan gol pertamanya musim ini kerana dia seorang pemain berpengalaman.

''Saya memasukkannya pada separuh masa kedua menggantikan Es Lizuan Zahid Amir yang kurang menyerlah dan ternyata dia (Wing Hoong) mampu menggalas cabaran yang diberikan,'' katanya.

Ditanya mengenai prestasi penjaga golnya, Mohd. Farizal Marlias, Irfan berkata, persembahan yang ditunjukkan bekas pemain Shahzan Muda itu juga memuaskan walaupun bolos dengan dua jaringan.

''Saya menganggap perlawanan menentang Pahang juga sama penting dan bagi saya tiada perlawanan yang tidak penting terutamanya pada awal musim ini.

''Saya akan kekalkan barisan yang sama dan berharap mereka dapat memberi fokus dalam perlawanan berikutnya nanti,'' kata jurulatih kelahiran Kelantan itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0105&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz51Hg87Nqi

© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Disember 2017

Sathia uji gandingan Nizar, Safee

ARKIB : 22/09/2008
KUALA LUMPUR - Jurulatih negara, B. Sathianathan dijangka mempertaruhkan semula penyerang senior yang semakin dilupakan, Nizarudin Yusof, 29, untuk bergandingan dengan Safee Sali di barisan serangan dalam Pestabola Merdeka Ke-40, bulan depan.

Gandingan penyerang Polis dan Selangor ini menjadi antara pilihan utama Sathianathan berdasarkan dua perlawanan persahabatan sebagai persediaan Pestabola di Slovakia dengan menentang kelab Rimavska Sabota dan Slovan Bratislava, minggu lalu.

Nizarudin, Safee dan penyerang muda Negeri Sembilan, Zaquan Adha Radzak diturunkan dalam corak serangan serampang tiga Malaysia ketika seri 2-2 dengan Rimavska, Selasa lalu sebelum Sathianathan kembali menggunakan dua penyerang Polis dan Selangor itu apabila dikalahkan Slovan 3-2.

Safee sempat menjaringkan gol ketika menentang Slovan, Khamis lalu menerusi sepakan penalti pada minit ke-88 selepas ketua pasukan, Shukor Adan menyamakan gol menerusi gerakan satu dua sesama mereka pada minit ke-36 dalam perlawanan di Stadium Vion Zlate Moravce itu.

Gandingan Safee-Zaquan begitu berbisa ketika membantu Malaysia menjuarai Pestabola tahun lalu tetapi kemasukan Nizarudin yang dipanggil semula menyarung jersi negara sejak persahabatan dengan Indonesia, Jun lalu, bakal meluaskan pilihan penyerang pasukan negara.

Dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia, kata Sathianathan, kelab bahagian satu Liga Super Slovakia itu beroleh dua gol menerusi pemain Uzbekistan, Aziz Ibragimov pada minit ke-22 dan 40 serta Michal Aizbetkin (68) pada perlawanan dengan suhu 12 darjah Celsius.

"Keadaan begitu dingin dan angin bertiup kencang sehingga lawan banyak mengasak kami malah gerakan beberapa pemain Malaysia tidak seperti yang diharapkan," katanya yang berdepan misi sulung antarabangsa tahun ini, Pestabola Merdeka di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur dari 15 hingga 25 Oktober.

Percubaan Sathianathan menurunkan Farderin Kadir yang bergandingan dengan Zaquan di barisan depan pada babak kedua pula tidak menjadi dan pemain Kuala Muda Naza itu terpaksa ditukarkan semula dengan Safee sementara beberapa eksperimen di bahagian belakang turut dilakukan.

"Dalam babak pertama perlawanan ini juga, Kaironnisam Sahabuddin Hussain (bekas ketua pasukan negara) yang biasa bermain sebagai bek tengah, diletakkan ke tengah untuk bergandingan dengan Shukor dan saya menggunakan gandingan Aidil Zafuan Radzak-Norhafiz Zamani Misbah tempat lamanya," ujarnya.

Sathianathan turut mencuba penjaga gol Shahzan Muda, Farizal Marlias pada babak pertama menentang Slovan dan menggantikannya dengan Badrulzaman Halim dari PKNS sementara pemain UPB-MyTeam, Syed Adney Syed Hussein direhatkan selepas turun separuh masa menentang Rimavska.

Malaysia akan melalui dua lagi perlawanan persahabatan di Slovakia sebelum dijangka pulang ke tanah air pada Sabtu ini dan bakal kembali ke kem latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya menghadapi Pestabola selepas bercuti Hari Raya Aidilfitri selama beberapa hari
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50SnQLxNo

© Utusan Melayu (M) Bhd