ARKIB : 16/04/2000
BARISAN pemain dan pegawai pasukan bola sepak Kuala Lumpur girang bersama Piala Sultan Ahmad Shah yang dimenangi selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih di Stadium KLFA, Cheras, semalam. - Gambar ROSNI MASRI
MALAM gemilang buat Kuala Lumpur yang bermula cemerlang dalam bola sepak Liga Malaysia apabila berjaya menjulang Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan Brunei 2-1 pada perlawanan Sumbangsih yang berlarutan sehingga masa tambahan di Stadium KLFA, Cheras, semalam.
Penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof menjaringkan gol emas ketika masa tambahan ifsudden-death baru berusia seminit, selepas kedudukan sebenar terikat 1-1.
Nizaruddin melonjak tinggi menanduk masuk gol kemenangan itu selepas menerima hantaran cantik pemain pertahanan, Azali Mat Jusoh.
Kejayaan itu bagaimanapun hanya memberikan satu mata buat pasukan juara Piala FA itu pada perlawanan yang juga pembuka tirai Perdana Satu kerana peraturan masih mengikut format liga.
Sebaliknya permulaan yang mengecewakan buat juara Piala Malaysia, Brunei walaupun memiliki kelebihan satu gol sehingga babak akhir permainan.
Riwandi Wahit menanduk masuk gol pembukaan seawal minit kesembilan untuk Brunei mendahului tetapi M. Eswaran menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki tiga minit untuk ditamatkan yang memaksa masa tambahan.
Mulanya, pasukan tuan rumah bagai serba tidak kena pada awal babak pertama dengan permainan agak kucar-kacir, membolehkan Brunei menguasai bahagian tengah dan membuka permainan dengan serangan-serangan berbahaya.
Keadaan itu bijak diambil kesempatan pasukan pelawat yang menggunakan peluang terbaik itu untuk mengejutkan Kuala Lumpur dengan gol awal.
Norsillmy Taha menyilangkan bola sepakan bebas sebelah kanan menuju ke depan gawang Kuala Lumpur dan Riwandi pantas menghulurkan kepala menanduk menewaskan Shaharudin Ahmad.
Kuala Lumpur berusaha bangkit tetapi gagal menembusi barisan pertahanan lawan. Pergerakan penyerang kebangsaan, Mohd. Nizaruddin Yusof dikunci ketat manakala bahagian tengah Kuala Lumpur pula gagal berfungsi.
Begitupun, tuan rumah hampir berjaya menyamakan kedudukan tiga minit sebelum berakhir babak pertama apabila sepakan bebas Rosle Derus menyinggah tiang dan K. Nanthakumar lewat untuk menyambar bola muntah sebelum pantas dikeluarkan Rosli Liman.
Brunei bagai tidak bernafsu untuk menambah jaringan pada babak kedua apabila mereka lebih banyak bertahan dan memberi peluang Kuala Lumpur melancarkan serangan-serangan bahaya.
Nizaruddin berkesempatan melepaskan tendangan di depan gawang pada minit ke-75 dan 80 tetapi sempat dihalang.
Jurulatih warga kota, Mat Zan Mat Aris membawa masuk seorang lagi penyerang, Mohd. Farid Dewan yang menampakkan kegarangan Kuala Lumpur.
Eswaran akhirnya menghadirkan gol penyamaan yang dinanti-nanti sebelum Nizaruddin menghadirkan keceriaan buat Kuala Lumpur.
Oleh: JOHARI SHAWAL
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0416&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4TH2NuRsU © Utusan Melayu (M) Bhd