ARKIB : 25/03/1999
KELETIHAN selain gementar ketika mengambil sepakan penalti menghukum Kuala Lumpur apabila gagal melebarkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus terlepas peluang untuk kekal sebagai pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu.
Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, pemain keletihan selepas kembali dari Brunei menyebabkan aksi mereka ketika menentang Sarawak di Stadium KLFA, Cheras kelmarin, tidak pada tahap terbaik.
''Mereka masih bermain baik tetapi sedikit letih selepas balik dari Brunei. Tumpuan mereka juga tidak sehebat ketika menentang Brunei dan memang aksi mereka ketika bermain dengan Sarawak berbeza,'' kata Mat Zan.
Selain itu jurulatih itu berkata, pemainnya juga tiba-tiba jadi takut untuk mengambil sepakan penalti ketika penentuan kemenangan dan mereka yang mengambil sepakan itu juga jelas gementar.
''Ketika latihan, mereka berebut-rebut untuk mengambil sepakan penalti tetapi ketika perlawanan, sebahagian mereka enggan mengambil sepakan itu sehingga (penjaga gol) Shaharuddin (Ahmad) terpaksa disenaraikan sebagai penendang,'' katanya.
Begitu pun, empat sepakan penalti berjaya disempurnakan pemain Kuala Lumpur kecuali sepakan Shaharudin ditepis keluar oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang memberikan kemenangan 5-4 kepada skuad Bujang Senang.
''Saya tidak salahkan mereka, mungkin mereka gugup ketika berdepan dengan penyokong sendiri,'' katanya.
Kuala Lumpur terikat 1-1 sebelum sepakan penalti itu dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain warga kota.
Pemain pertahanan P. Saravanan tertampan bola masuk ke jaring sendiri ketika cuba menyelamatkan hantaran silang penyerang Sarawak, Mohd. Safri Amit sebelum bekas pemain Olimpik 2000, Azmir Nur Hakim Burhan menyelamatkan skuad warga kota dengan gol penyamaan pada minit ke-44, jaringan kedua peribadinya selepas dua perlawanan liga.
''Kita sepatutnya menang dalam pertemuan ini tetapi mereka sudah melakukan apa yang terdaya... Saya gembira mendapat satu mata,'' katanya.
Kuala Lumpur mencipta banyak peluang untuk melebarkan jaringan pada babak kedua tetapi dua penyerang mudanya, Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof gagal membuat penyudah.
''Sarawak langsung tidak memberi ruang kepada pemain kita untuk menembusi benteng mereka. Hantaran-hantaran lambung yang diamalkan seperti ketika menentang Brunei gagal disambar barisan depan,'' kata Mat Zan.
Pertemuan dengan Brunei, menurut jurulatih itu, lebih mudah kerana pasukan lawan bermain secara terbuka dan memberi banyak ruang buat pemainnya bergerak dan membolehkan mereka mencipta jaringan.
Kuala Lumpur menang 4-3 di Brunei pada perlawanan pertama menerusi jaringan Mohd. Farid, Azmir dan dua gol dari Mohd. Nizaruddin.
Pasukan warga kota kini di tangga kedua Perdana Satu dengan empat mata di belakang juara liga musim lalu, Pulau Pinang yang mengutip lima mata selepas dua perlawanan menewaskan Negeri Sembilan dan Brunei.
Pertemuan kedua-dua pasukan di gelanggang sendiri pada perlawanan ketiga Selasa depan bakal menyaksikan perebutan tangga teratas liga.
Oleh: JOHARI SHAWAL
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RDitjv3o © Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan