Ahad, 4 Disember 2016

Kuala Lumpur menang tipis


 

ARKIB : 16/06/1999
PEMAIN Sabah, Madzelan Emoi (kanan sekali) terjatuh ketika berebut bola dengan pemain Kuala Lumpur, Mohd. Nizaruddin Yusof (no.11) pada perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala FA di Stadium KLFA, Cheras, semalam. Kuala Lumpur menang 1-0. - Gambar ASMARUDDIN JAMALUDDIN.

KUALA LUMPUR mengotakan janji untuk mencatat kemenangan pada separuh akhir pertama bola sepak Piala FA apabila menang 1-0 ke atas Sabah pada perlawanan di Stadium KLFA, Cheras, semalam, lapor JOHARI SHAWAL.

Jaringan tunggal pemain pertahanan, Mohd. Imran Ahmad pada minit kelapan sekali gus meleburkan rekod kemenangan tujuh perlawanan berturut-turut Sabah dalam Liga Perdana sebelum ini.

Begitupun, kemenangan tipis semalam menyukarkan Kuala Lumpur apabila bertandang ke Likas, 25 Jun ini untuk perlawanan timbal balik.

Namun, permainan menarik disajikan kedua-dua pasukan tetapi masing-masing gagal melakukan penyudah yang baik apabila barisan pertahanan kedua-dua pasukan beraksi cemerlang mengekang lawan.

Setiap percubaan baik Kuala Lumpur mahu pun Sabah sering tersekat di pertengahan jalan dan sebarang aksi percubaan berbahaya ke gawang langsung tidak kelihatan.

Begitu pun, ketika perlawanan baru masuk minit kelapan, pasukan tuan rumah tiba-tiba membuat kejutan apabila berjaya menggegarkan jaring pasukan lawan untuk gol pembukaan.

S. Saravanan melorongkan bola kepada Mohd. Nizaruddin Yusof yang mempamerkan skil menggelecek dua pertahanan Sabah termasuk tonggak utama Veselin Kovacevic sebelum pantas meledakkan sepakan kencang tetapi terkena tiang sebelah kiri Sabah.

Bola yang muntah keluar disepak deras Mohd. Imran ketika penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamad tidak terdaya mengekang sepakan leret pemain pertahanan itu.

Hanya satu peluang terbaik hadir buat Sabah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-38 hasil sepakan sudut yang ditanduk Jelius Ating tetapi bola melewati sedikit atas palang gol Kuala Lumpur.

Corak serupa dipamerkan kedua-dua pasukan pada babak kedua tetapi Kuala Lumpur berpeluang menambah gol kedua jika Nizaruddin terus melepaskan tendangan ke gawang sebelum dipintas Jelius.

Hingga minit-minit terakhir Sabah terus mencuba dan Kuala Lumpur bertahan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4Rsjt5TGE © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan