ARKIB : 13/10/2005
KUALA LUMPUR - Bekas penyerang
Public Bank Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof sah menyertai naib juara Liga
Perdana 2005, Negeri Sembilan.
Difahamkan bekas penyerang
kebangsaan berusia 26 tahun itu telah pun menandatangani kontrak dengan
Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Seremban, semalam.
Kehadiran Nizaruddin dikatakan
melengkapkan impian pasukan Jang yang beraksi dalam Liga Super musim 2005/06 untuk
mendapatkan seorang penyerang tempatan yang akan berganding dengan dua lagi
penyerang import baru.
PBNS yang menggugurkan dua
penyerang importnya musim ini, Christian Beckamenga dari Cameroon dan Abdul
Lateef Seriki dari Nigeria, sedang mencari rakan gandingan import Nizaruddin.
Sementara itu Nizaruddin ketika
dihubungi mengesahkan dia akan bersama Negeri Sembilan musim depan.
Katanya, dia membuat keputusan
ke pasukan Negeri Sembilan berikutan kesungguhan PBNS untuk mendapatkan
khidmatnya.
``Walaupun ada tawaran dari
pasukan lain, kesungguhan PBNS mengharapkan khidmat saya membuatkan saya
memutuskan menyertai mereka.
``Saya mahukan sebuah pasukan
yang benar-benar memerlukan khidmat saya... Dari pihak pengurusan sehinggalah
kepada jurulatih.
``Impian saya untuk menyertai
pasukan berstatus negeri telah tercapai seperti yang saya idamkan sejurus
saingan Liga Super 2005 bersama Public Bank berakhir,'' katanya.
Katanya, dia juga yakin
jurulatih yang dikekalkan, K. Devan mampu meningkatkan kecemerlangan Negeri
Sembilan pada saingan akan datang.
``Saya tidak pernah menjadi
anak didik K. Devan tetapi saya percaya dia seorang jurulatih muda yang
berwibawa.
``Begitu juga para pemain sedia
ada dalam pasukan Negeri Sembilan bukanlah asing kerana kami pernah beraksi
bersama-sama dalam pasukan kebangsaan seperti Idris Karim, Khairul Anuar
Baharum, Anuar Jusoh dan B. Rajinikadhn ketika di Selangor,'' katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j7LnygHR
© Utusan Melayu (M) Bhd