Isnin, 5 Jun 2017

Sah, Nizaruddin ke NS



ARKIB : 13/10/2005

KUALA LUMPUR - Bekas penyerang Public Bank Selangor, Mohd. Nizaruddin Yusof sah menyertai naib juara Liga Perdana 2005, Negeri Sembilan.

Difahamkan bekas penyerang kebangsaan berusia 26 tahun itu telah pun menandatangani kontrak dengan Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) di Seremban, semalam.

Kehadiran Nizaruddin dikatakan melengkapkan impian pasukan Jang yang beraksi dalam Liga Super musim 2005/06 untuk mendapatkan seorang penyerang tempatan yang akan berganding dengan dua lagi penyerang import baru.

PBNS yang menggugurkan dua penyerang importnya musim ini, Christian Beckamenga dari Cameroon dan Abdul Lateef Seriki dari Nigeria, sedang mencari rakan gandingan import Nizaruddin.

Sementara itu Nizaruddin ketika dihubungi mengesahkan dia akan bersama Negeri Sembilan musim depan.

Katanya, dia membuat keputusan ke pasukan Negeri Sembilan berikutan kesungguhan PBNS untuk mendapatkan khidmatnya.

``Walaupun ada tawaran dari pasukan lain, kesungguhan PBNS mengharapkan khidmat saya membuatkan saya memutuskan menyertai mereka.

``Saya mahukan sebuah pasukan yang benar-benar memerlukan khidmat saya... Dari pihak pengurusan sehinggalah kepada jurulatih.

``Impian saya untuk menyertai pasukan berstatus negeri telah tercapai seperti yang saya idamkan sejurus saingan Liga Super 2005 bersama Public Bank berakhir,'' katanya.

Katanya, dia juga yakin jurulatih yang dikekalkan, K. Devan mampu meningkatkan kecemerlangan Negeri Sembilan pada saingan akan datang.

``Saya tidak pernah menjadi anak didik K. Devan tetapi saya percaya dia seorang jurulatih muda yang berwibawa.

``Begitu juga para pemain sedia ada dalam pasukan Negeri Sembilan bukanlah asing kerana kami pernah beraksi bersama-sama dalam pasukan kebangsaan seperti Idris Karim, Khairul Anuar Baharum, Anuar Jusoh dan B. Rajinikadhn ketika di Selangor,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1013&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4j7LnygHR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan