Selasa, 29 November 2016

Pahang ranapkan rekod tanpa kalah K. Lumpur

ARKIB : 11/04/1999
PAHANG memusnahkan rekod tanpa kalah Kuala Lumpur setelah berjaya membenamkan pasukan warga kota itu 3-0 pada perlawanan bola sepak Liga Perdana Satu di Stadium Darulmakmur, Kuantan, semalam.

Pahang yang bertekad menebus maruah selepas dibelasah Brunei 0-4, baru-baru ini, bermain dengan cemerlang untuk mematahkan setiap serangan lawan.

Akhir separuh masa pertama menyaksikan anak buah Fuzzeimi Ibrahim mula menemui sentuhan dan pada minit ke-37, gol pertama Pahang muncul.

Khairul Niza Haniff yang melihat keadaan penjaga Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amirudin mati langkah, terus menolak ke penjuru kanan gol.

Azizul Kamaluddin kemudiannya menyilangkan bola kepada Wan Rohaimi Wan Ismail yang merembat masuk ke kiri gol lawan untuk gol kedua Pahang.

Alif Rohaimin Azizhan pula melengkapkan kecemerlangan tuan rumah dengan jaringan ketiga pada minit terakhir.

PAHANG: Mohd. Ali Taha, Azahar Kamaluddin, Wan Rohaimi Wan Ismail, Alif Rohaimin Azizhan, Azizul Kamaluddin (Darul Nazri Daniyan), Shahrul Nizam Sahat, K. Ramachandran, Ahmad Shahrudin Rosdi, Mohd Khairul Niza Haniff, Mohd Azaruddin Aziz dan Zuraimi Hassan.


KUALA LUMPUR: Kamarul Idham Amirudin, Azali Mat Jusoh, Mohd. Imran Ahmad, G. Muthu (Mohd. Zulkhibri Raob), M. Karunakaran, Azlan Hussain, Azmir Nor Hakim Burhan (M. Eswaran), Mohd. Nazaruddin Yusof, Mohd. Khairi Zainuddin, K. Hemadas dan P. Saravanan.

Ahad, 27 November 2016

Pemain gugup bawa padah

ARKIB : 25/03/1999
KELETIHAN selain gementar ketika mengambil sepakan penalti menghukum Kuala Lumpur apabila gagal melebarkan kemenangan buat kali kedua berturut-turut, sekali gus terlepas peluang untuk kekal sebagai pendahulu bola sepak Liga Perdana Satu.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris berkata, pemain keletihan selepas kembali dari Brunei menyebabkan aksi mereka ketika menentang Sarawak di Stadium KLFA, Cheras kelmarin, tidak pada tahap terbaik.

''Mereka masih bermain baik tetapi sedikit letih selepas balik dari Brunei. Tumpuan mereka juga tidak sehebat ketika menentang Brunei dan memang aksi mereka ketika bermain dengan Sarawak berbeza,'' kata Mat Zan.

Selain itu jurulatih itu berkata, pemainnya juga tiba-tiba jadi takut untuk mengambil sepakan penalti ketika penentuan kemenangan dan mereka yang mengambil sepakan itu juga jelas gementar.

''Ketika latihan, mereka berebut-rebut untuk mengambil sepakan penalti tetapi ketika perlawanan, sebahagian mereka enggan mengambil sepakan itu sehingga (penjaga gol) Shaharuddin (Ahmad) terpaksa disenaraikan sebagai penendang,'' katanya.

Begitu pun, empat sepakan penalti berjaya disempurnakan pemain Kuala Lumpur kecuali sepakan Shaharudin ditepis keluar oleh penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahid yang memberikan kemenangan 5-4 kepada skuad Bujang Senang.

''Saya tidak salahkan mereka, mungkin mereka gugup ketika berdepan dengan penyokong sendiri,'' katanya.

Kuala Lumpur terikat 1-1 sebelum sepakan penalti itu dengan kedua-dua gol dijaringkan oleh pemain warga kota.

Pemain pertahanan P. Saravanan tertampan bola masuk ke jaring sendiri ketika cuba menyelamatkan hantaran silang penyerang Sarawak, Mohd. Safri Amit sebelum bekas pemain Olimpik 2000, Azmir Nur Hakim Burhan menyelamatkan skuad warga kota dengan gol penyamaan pada minit ke-44, jaringan kedua peribadinya selepas dua perlawanan liga.

''Kita sepatutnya menang dalam pertemuan ini tetapi mereka sudah melakukan apa yang terdaya... Saya gembira mendapat satu mata,'' katanya.

Kuala Lumpur mencipta banyak peluang untuk melebarkan jaringan pada babak kedua tetapi dua penyerang mudanya, Mohd. Farid Dewan dan Mohd. Nizaruddin Yusof gagal membuat penyudah.

''Sarawak langsung tidak memberi ruang kepada pemain kita untuk menembusi benteng mereka. Hantaran-hantaran lambung yang diamalkan seperti ketika menentang Brunei gagal disambar barisan depan,'' kata Mat Zan.

Pertemuan dengan Brunei, menurut jurulatih itu, lebih mudah kerana pasukan lawan bermain secara terbuka dan memberi banyak ruang buat pemainnya bergerak dan membolehkan mereka mencipta jaringan.

Kuala Lumpur menang 4-3 di Brunei pada perlawanan pertama menerusi jaringan Mohd. Farid, Azmir dan dua gol dari Mohd. Nizaruddin.

Pasukan warga kota kini di tangga kedua Perdana Satu dengan empat mata di belakang juara liga musim lalu, Pulau Pinang yang mengutip lima mata selepas dua perlawanan menewaskan Negeri Sembilan dan Brunei.

Pertemuan kedua-dua pasukan di gelanggang sendiri pada perlawanan ketiga Selasa depan bakal menyaksikan perebutan tangga teratas liga.

Oleh: JOHARI SHAWAL

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0325&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4RDitjv3o © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Cuma pelapis pilihan Mat Zan

ARKIB : 04/03/1999
KETIADAAN dua penyerang musim lalu, S. Paidiya Rau dan Meor Nor Syamsul Kamal yang berhijrah ke negeri lain musim ini agak memeningkan jurulatih Kuala Lumpur, Mat Zan Mat Aris dalam merencanakan barisan serangannya menghadapi Liga Perdana Satu, lapor JOHARI SHAWAL.

Mat Zan mengakui ketiadaan dua pemain itu menyebabkan barisan serangan skuad warga kota musim ini semakin tumpul, namun jurulatih itu masih ada pilihan.

Mat Zan kini menyandarkan harapan kepada G. Muthu selain tiga lagi penyerang baru, Mohd. Nizaruddin Yusop, Mohd. Zulkhibri Raob dan Mohd. Farid Dewan.

Bagaimanapun kecuali Muthu, kekurangan pengalaman ketiga-tiga pemain itu walaupun lincah di depan gol, belum menggembirakan jurulatih itu.

''Mereka adalah pemain baru dan masih muda... belum ada pengalaman kecuali dalam Piala Presiden. Walaupun Nizaruddin pernah bersama Kuala Lumpur musim lalu, dia jarang diturunkan sebab kita ada Paidiya dan Meor selain penyerang import.

''Saya akui barisan serangan kita sekarang kurang menyengat dan saya terpaksa mengasah mereka walaupun terpaksa mengambil masa,'' kata Mat Zan, semalam.

Musim lalu, Paidiya dan Meor merupakan antara penjaring terbanyak Kuala Lumpur yang membantu warga kota kekal dalam Perdana Satu.

Bagaimanapun, Paidiya musim ini memilih aksi bersama Selangor manakala Meor bersama Perak.

''Walaupun mereka kurang pengalaman tetapi jika terus didedahkan dengan banyak perlawanan persahabatan sebelum Liga M bermula, saya percaya Farid dan Nizaruddin mampu berdiri sama tinggi dengan penyerang pasukan lain,'' ujar Mat Zan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Q4gD0YjU © Utusan Melayu (M) Bhd