Sabtu, 16 September 2017

Hajat ke final tak kesampaian

ARKIB : 28/01/2007
Daripada: MOHD. TAUFEK RAZAK
 
TONGGAK Malaysia, Nizarudin Yusof (kiri) diasak oleh pemain Singapura, Daniel Bennett dalam saingan separuh akhir kedua Kejohanan Bola Sepak ASEAN di Stadium Nasional, Singapura, malam tadi. Malaysia tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 2-2 secara agregat.– AFP.

SINGAPURA – Malaysia gagal lagi mara ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak ASEAN selepas tewas menerusi penentuan sepakan penalti 4-5 kepada juara bertahan, Singapura pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Nasional di sini, semalam.

Kegagalan Mohd. Kyril Muhymeen menyepak masuk sepakan kelima dan terakhir menyaksikan Malaysia sekali lagi tersingkir pada separuh akhir selepas dua tahun lalu turut dihampakan Indonesia dalam peringkat yang sama.

Empat sepakan penalti Malaysia disempurnakan Hardi Jaafar, Rezal Zambree, Saramsak Kram dan Thirumurugan, manakala Singapura menerusi Indra Shahdan, Mohd. Noh Alam Shah, Mustafic Fahrudin, Fazrul Naviaz dan Shia Jia Yi.

Terdahulu kedudukan terikat 1-1 sehingga ke masa tambahan selepas Eddy Helmi Abd. Manan meletakkan Malaysia lebih dulu di depan pada minit ke-57 sebelum Singapura menyamakan kedudukan menerusi Muhd. Ridhuan Muhamad pada minit ke-74.

Penentuan penalti terpaksa diadakan apabila kedudukan agregat terikat 2-2 selepas kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.

Empat sepakan percuma yang diperoleh Singapura di luar kotak penalti Malaysia tidak satu pun berjaya digunakan sebaiknya untuk mencipta jaringan dan peluang terbaik mereka hanya muncul pada minit ke-30, tetapi sepakan Mohd. Noh Alam Shah tepat ke dakapan Syamsuri Mustafa.

Malaysia yang sekali sekala menyerang berpeluang mendahului pada minit ke-38 apabila Hairuddin melepasi perangkap ofsaid tetapi hantaran ke belakangnya kepada Shukor Adan disepak tinggi melepasi palang gol.

Bermula babak kedua, Singapura yang semakin terdesak di depan penyokong sendiri terus mengasak dengan dua percubaan awal yang merbahaya tetapi berjaya dihalang oleh perangkap ofsaid yang dilakukan pertahanan Malaysia.

Dalam sibuk menyerang menyaksikan pertahanan Singapura alpa seketika dan berpunca daripada sepakan percuma, Eddy Helmi menjelmakan gol pendahuluan dengan menampan bola untuk menggegar jaring.

Walaupun cuba ditolak keluar penjaga gol Singapura, Lionel Lewis di atas garisan gol tetapi bola tetap bergolek masuk untuk Malaysia mendahului 1-0.

Gol tersebut menyebabkan Singapura seperti singa terluka dengan terus melancarkan serangan untuk mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil 17 minit selepas gol pendahuluan Malaysia itu.

Selepas berlaku suasana kelam kabut di depan gawang Malaysia, Mohd. Nor memberi ruang kepada Muhd. Ridhuan untuk menyepak masuk dari jarak dekat untuk Singapura mengikat kedudukan sehingga tamat permainan.

Lima belas minit pertama masa tambahan selepas itu juga agak perlahan dan gagal memecah kebuntuan dalam usaha untuk kedua-dua pasukan menentukan pemenang perlawanan.

Namun, tempoh 15 minit kedua masa tambahan, permainan kembali pantas dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi penjaga gol masing-masing pula bertindak cemerlang sebelum perlawanan ditentukan menerusi sepakan penalti.

“Saya puas hati dengan pemain-pemain saya dan anda boleh lihat sendiri bagaimana mereka berusaha keras untuk menang, tetapi dalam sepakan penalti apa sahaja boleh berlaku,’’ kata jurulatih Malaysia, Norizan Bakar.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0128&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spYyufaL
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia hanya mampu seri


 

ARKIB : 24/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP
PENYERANG negara, Mohd. Nizaruddin Yusuf (kanan) dikepung empat pemain Singapura dalam aksi separuh akhir pertama Piala AFF di Stadium Shah Alam, malam tadi. – Gambar IZHAM JAAFAR.

SHAH ALAM – Tuah bermain di gelanggang sendiri tidak memihak kepada skuad Malaysia apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 bertemu penyandang juara, Singapura dalam saingan separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, semalam.

Kemenangan seolah-olah mengamit buat Malaysia apabila sepakan lencong kaki kiri Muhammad Hardi Jaafar pada minit ke-57 menerjah penjuru kanan pintu gol Singapura tetapi penjaring terbanyak kejohanan, Mohd. Noh Alam Shah memadamkan peluang itu dengan jaringan penyamaan ketika perlawanan berbaki 17 minit hendak ditamatkan.

Tugas berat kini menanti anak didik jurulatih Norizan Bakar untuk merealitikan impian layak ke akhir buat kali kedua selepas 1996 apabila berdepan Singapura pada saingan separuh akhir kedua di Stadium Nasional, Sabtu ini.

Walaupun peluang Malaysia tampak sukar bertandang ke tempat lawan hujung minggu ini, namun pujian seharusnya diberikan kepada kesebelasan utama yang diturunkan kerana mempamerkan aksi paling menarik yang sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh peminat bola sepak negara.

Sepanjang tempoh 90 minit babak berlangsung menyaksikan betapa barisan pemain kebangsaan beraksi mati-matian dan keputusan seri 1-1 dianggap adil buat kedua-dua pasukan.

Di hadapan kira-kira 35,000 jelas terhibur dengan corak permainan yang cukup menyakinkan dengan penguasaan penuh milik Malaysia tetapi tuah untuk mengamit kemenangan tidak memihak kepada kita.

Sebaik babak bermula Malaysia lebih awal mengasak dan menguasai pentas saingan sepanjang tempoh 15 minit babak berlangsung sambil Singapura tampak bermain secara bertahan.

Situasi itu membolehkan gandingan K. Nanthakumar, Muhammad Shukor Adan, Muhammad Hardi Jaafar dan Eddy Helmi Manan mengemudi bahagian tengah mencipta beberapa peluang buat gandingan Nizaruddin Yusof dan Hairuddin Omar sering mengucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Peluang terbaik hadir milik Malaysia pada minit ke-25 apabila sepakan percuma Hardi dari jarak 25 meter memaksa penjaga gol Singapura, Lionell Lewis merebahkan badan menepis keluar sepakan tersebut.

Asakan tersebut menyemarakkan semangat anak didik jurulatih Norizan Bakar apa lagi mendapat sokongan kira-kira 35,000 penonton untuk terus memberi tekanan ke atas pelawat.

Namun serangan pantas Singapura hampir-hampir mencipta jaringan jika tidak kegopohan penyerang terbanyak pelawat Mohd. Noh Alam Shah sekadar menyepak lemah walaupun ketika itu berdepan dengan penjaga gol Malaysia, Mohamad Syamsuri Mustafa pada minit ke-40.

Seminit selepas itu giliran Malaysia mencipta peluang tetapi dihampakan oleh sepakan liar Muhammad Shukor ke sebelah kiri tepi gol Singapura.

Buat menambah sengat di jentera serangan Norizan mengeluarkan penyerang veteran Nizaruddin dan membawa masuk Sanramsak Kram di babak kedua.

Namun seminit babak kedua bermula Singapura hampir-hampir memecah kebuntuan jaringan gol namun sepakan Indra Shahdan Daud tidak menepati saaran walaupun berdepan dengan Mohamad Syamsuri.

Pada minit ke-55 jaringan awal nyaris tercipta milik Malaysia tetapi Lewis nyata lebih tangkas menyelamatkan sepakan Muhammad Shukor di hadapan pintu gol pelawat.

Dua minit selepas itu Stadium Shah Alam gamat dengan pekikan sorakan penyokong Malaysia apabila Muhammad Hardi mencipta jaringan tercantik mengejutkan kesebelasan Singapura.

Dari jarak 30 meter Hardi melepaskan sepakan lencong dari sebelah kiri terus menuju ke penjuru pintu gol Singapura tanpa dapat diselamatkan oleh Lewis.

Bagaimanapun Singapura berjaya mengikat kedudukan 1-1 apabila penjaring terbanyak mereka Mohd. Noh Alam Shah menanduk masuk gol tersebut pada minit ke-73.

Singapura beraksi dengan 10 pemain apabila ketua pasukan Aide Iskandar dilayangkan kad merah oleh pengadil Wan Da Xue dari China kerana melewat-lewatkan permainan.

MALAYSIA: Mohamad Syamsuri Mustafa, Mohd. Fauzi Nan, Mohd. Khaironnisam, Norhafiz Misbah Zamani, V. Thirumurugan, Muhammad Shukor Adan, Hardi Jaafar, K. Nanthakumar, Eddy Helmi Manan, Hairuddin Omar, Mohd. Nizaruddin Yusof (Saramsak Kram).

SINGAPURA: Lionel Lewis, Aide Iskandar, Mohd. Isa Abdul Halim, Shi Jia Yi, Indra Shahdan Daud, Mohd. Hafiz Osman, Daniel Mark Bennett, Mohd. Khairul Amri, Mohd. Noh Rahman, Precious Emuejeraye, Mohd. Noh Alam Shah

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spHZlZZs
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nizaruddin mimpikan jaringan



ARKIB : 22/01/2007
Oleh: AMRAN MULUP 
SHAH ALAM – Penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof berjanji mempamerkan aksi paling menarik dan lebih manis jika dapat menjaringkan gol kemenangan Malaysia apabila menentang Singapura pada separuh akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Asean di Stadium Shah Alam, malam esok.

Nizaruddin berhajat mahu beraksi dalam perlawanan akhir Piala AFF buat pertama kali setelah tiga penampilannya tersekat di separuh akhir.

‘‘Saya bertekad untuk mencipta jaringan jika tidak, saya akan memainkan peranan kepada rakan lain untuk mencari jaringan dan yang penting Malaysia perlu menang ke atas Singapura.

‘‘Bagi saya, inilah peluang terbaik untuk beraksi dalam perlawanan akhir jika tidak, bila lagi,’’ ujarnya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam, semalam.

Keyakinan Nizaruddin cukup menebal untuk merobek benteng ampuh Singapura esok dan mahu meletakkan dirinya sebagai wira mengukir kemenangan paling bermakna.

Ujarnya, kemenangan begitu penting untuk memulihkan imej bola sepak negara yang tandus dengan kejayaan.

Malah katanya, ia sekali gus dapat menamatkan segala cemuhan dan kritikan yang dilemparkan ke atas skuad kebangsaan apabila setiap kali kalah.

‘‘Bukan saya bahkan kesemua pemain begitu bersemangat untuk menyekat Singapura. Keyakinan kami cukup tinggi dan bertekad memberikan persembahan lebih 100 peratus,’’ ujarnya lagi.

Sementara itu penjaring terbanyak kejohanan Mohd. Noh Alam Shah tetap menganggap kekuatan Malaysia tidak boleh dipandang ringan.

Penyerang berusia 27 tahun dan mencipta kejutan apabila menjaringkan tujuh gol sewaktu Singapura membelasah Laos 11-0, menyifatkan pertembungan dengan Malaysia bukan tugas mudah.

‘‘Saya sudah banyak kali beraksi menentang Malaysia sejak 1999, setiap kali Singapura berdepan Malaysia peluang untuk menang sukar untuk dijangkakan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sp9Akp93
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 15 September 2017

Myanmar buat Malaysia tertekan



 
ARKIB : 15/01/2007
PEMAIN negara, Mohammad Hardi Jaafar (no.10) dikawal ketat dua pemain Myanmar, Zaw Lynn Tun (no.4) dan Aung Maung Tun (no.7) ketika aksi Kumpulan A Piala AFF di Bangkok, semalam. Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 0-0. – AFP.

BANGKOK – Malaysia berhadapan laluan sukar untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Asean (AFF) selepas seri tanpa jaringan dengan juara Piala Merdeka, Myanmar di Stadium Supachalasai di sini semalam.

Malaysia akan menentang tuan rumah Thailand dalam perlawanan akhir Kumpulan A esok manakala Myanmar mempunyai tugas yang agak mudah apabila bertemu Filipina.

Skuad kebangsaan turun ke padang membariskan pemain sama yang menumpaskan Filipina 4-0 Jumaat lepas manakala lawan mereka, yang memberikan gol pada waktu kecederaan ketika terikat 1-1 dengan Thailand, turut melakukan perubahan kecil.

Dengan perlawanan yang sukar menentang Thailand esok, Malaysia berusaha mendapatkan gol awal bagi memastikan kemenangan dan hanya memerlukan lapan minit untuk menguji pertahanan Myanmar namun tandukan Hairuddin Omar tersasar.

Namun serangan balas Myanmar nyaris membuahkan hasil apabila rembatan Yan Paing mengenai tiang gol kanan ketika penjaga gol Malaysia Mohd. Syamsuri sudahpun tewas.

Pada minit ke-18, Mohd. Nizaruddin Yusof, yang dipilih sebagai CNN’s World Sport Play of the Day ketika melakukan aksi sepakan gunting mengagumkan pada Jumaat lalu, membuat rembatan kencang yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Myanmar berusia 16 tahun, Kyaw Zin Htet.

Malaysia menguasai perlawanan dengan baik namun sukar menembusi benteng pertahanan Myanmar, sehinggalah pada minit ke-35 apabila pemain muda Mohd. Khyril Muhymeen melakukan larian solo ke kotak penalti tetapi sepakannya yang lemah terus ke dakapan Zin Htet.

Seketika kemudian, Myanmar memperoleh satu lagi peluang keemasan menerusi Khin Maung Tun yang rembatan jarak jauhnya diselamatkan oleh Mohd. Syamsuri.

Sementara itu dalam perlawanan kedua pula tuan rumah, Thailand menepati ramalan apabila berjaya mencatat kemenangan pertama apabila menewaskan Filipina 4-0.

MALAYSIA: Mohamad Syamsuri, Mohd. Fauzie Nan, Norhafiz Zamani Misbah, V. Thirumurugan (K. Nanthakumar), Mohd Khaironnisam, Muhammad Hardi Jaafar, Muhammad Shukor Adan, Mohd. Nizarudin Yusof (Safiq Rahim), Mohd. Khyril Muhmeen, Irwan Fadzli Idrus, Hairuddin Omar.

MYANMAR: Kyaw Zin Htet, Min Thu, Moe Win, Zaw Lynn Tun, Khin Maung Lwin, Khin Maung Tun, Aung Myo Thant, Aung Myint Aye (Kyaw Thu Ra), Yan Paing, Si Thu Win, Soe Thiha Aung.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sjsKVifJ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 10 September 2017

Nizaruddin, Irwan sudah bersedia



ARKIB : 28/12/2006


KUCHING – Dua pemain berpengalaman yang dipanggil untuk latihan skuad negara ke Kejohanan Bola Sepak ASEAN, Nizaruddin Yusof dan Irwan Fadli Idrus menyatakan kesediaan untuk menyarung kembali jersi kebangsaan, lapor SAYED HISHAM IDRIS.

Menurut kedua-dua pemain itu, kepercayaan jurulatih kebangsaan Norizan Bakar menyenaraikan semula mereka menyertai 23 pelatih merupakan satu khabar yang dinanti-nantikan.

Nizaruddin, 27, yang pernah beraksi di posisi serangan skuad kebangsaan berkata dia masih berminat untuk beraksi di peringkat antarabangsa dan berazam untuk memberikan yang terbaik.

Menurutnya, dia tidak menyangka masih diberi kepercayaan oleh Norizan walaupun sudah lebih setahun tidak beraksi bersama pasukan negara.

‘‘Kali terakhir saya beraksi (untuk pasukan kebangsaan) ialah pada kempen kelayakan Piala Dunia 2006, lebih setahun lalu dan sejurus mendapat panggilan daripada Norizan baru-baru ini saya terus memberi persetujuan.

‘‘Saya memang bersedia bila-bila masa dan sentiasa bersemangat untuk beraksi demi pasukan kebangsaan,’’ katanya ketika dihubungi semalam.

Nizaruddin yang pernah mewakili Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan musim ini bersama UPB-MyTeam dalam Liga Perdana berkata, dia tidak berdepan masalah kecederaan untuk beraksi pada saingan kompetitif.

Malah, katanya pengalaman sepanjang kira-kira tujuh tahun bersama pasukan negara akan digunakan mencurah khidmat bersama pasukan kebangsaan.

‘‘Berdasarkan senarai pelatih yang dipanggil, saya rasa tidak ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pemain seperti Hairuddin Omar, Irwan Fadli Idrus, Syukur Adan, Norhafiz Zamani dan ramai lagi kerana kami pernah bermain dalam satu pasukan sebelum ini,’’ katanya.

Kesediaan yang sama juga dilaungkan oleh pemain sayap kiri, Irwan Fadli yang kali terakhir beraksi untuk pasukan kebangsaan juga pada kempen kelayakan Piala Dunia 2006 di bawah kendalian jurulatih dari Hungary, Bertalan Bicskei.

Katanya, dia sedia memberikan komitmen untuk latihan bersama skuad kebangsaan walaupun dalam masa yang sama terpaksa memikirkan pasukannya Pahang dalam aksi Liga Super.

‘‘Saya akan membalas kepercayaan jurulatih Norizan menyenaraikan saya sebagai antara pelatih ke skuad kebangsaan dengan memberikan yang terbaik,’’ katanya yang pernah beraksi pada kejohanan Piala Tiger, Sukan SEA dan kelayakan Piala Dunia 2006.

Nizaruddin dan Irwan Fadli merupakan antara 23 pemain yang dipanggil oleh Norizan semalam menyertai Kejohanan ASEAN bulan depan.

Antara pemain berpengalaman lain yang turut dipanggil termasuk Chan Wing Hoong, K. Nanthakumar, Muhammad Khaironnisam Shahabuddin, Azizon Kadir, Hardi Jaafar dan Eddy Helmi Manan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1228&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4sHjIYk7p
© Utusan Melayu (M) Bhd