ARKIB : 18/11/2004
Menurut bekas penyerang Selangor dan Kuala Lumpur itu, ketiadaan tiga rakan, penjaga gol, Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Haris Safuan serta jurulatih Dollah Salleh tidak mempengaruhi keputusannya untuk sama-sama bertukar angin baru.
Katanya, dia selesa bersama MPPJ dan yakin pasukan itu tetap menyengat musim depan sekali pun kehilangan tonggak yang membawa MPPJ muncul pasukan berstatus kelab pertama menjulang Piala Malaysia musim lalu.
Sambil menyifatkan penghijrahan mereka sebagai lumrah dalam era bola sepak profesional, Nizaruddin berkata dia berat hati untuk beralih ke pasukan baru sekali pun menerima beberapa tawaran menarik.
``Di MPPJ, pemain ibarat satu keluarga, satu suasana yang sukar saya temui di tempat lain. Saya gembira dengan keadaan sekarang dan tiada sebab untuk mencari haluan baru.
``Lagipun prestasi MPPJ konsisten walaupun tidak dibarisi pemain bertaraf bintang. Musim ini MPPJ menjulang dua piala, satu pencapaian yang cukup membanggakan.
``Suasana gembira, ceria dan tidak wujud masalah dalam pengurusan membuatkan saya mahu terus menyumbang khidmat di MPPJ musim depan,'' katanya.
Tiga pemain MPPJ, Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Haris Safuan serta jurulatih, Dollah Salleh disambar oleh Selangor dalam usaha mereka mengembalikan kegemilangan pasukan Piala Malaysia 29 kali itu.
Selain mereka, Selangor turut mengikat penyerang Indonesia, Bambang Pamungkas, penggempur Perak, Mohd. Khalid Jamlus dan V. Saravanan, pemain import dari Argentina, Brian Fuentes, K. Sanbagamaran (Sabah); Nazzab Hidzan, Ahmad Tarmini Saiban (Telekom); K. Rajan (N. Sembilan) dan Eddy Helmi Manan (Johor).
Menurut Nizaruddin, dia yakin MPPJ akan menemui pengganti setanding dengan pemain yang berhijrah ke Selangor.
``Daripada pengamatan saya, MPPJ sendiri tidak ketandusan pemain berbakat. Ketika era Dollah, para pemain simpanannya setanding dengan kesebelasan utama.
``Jadi saya tidak nampak masalah untuk mencari pemain yang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh rakan-rakan kami yang mengubah haluan ke pasukan baru musim depan,'' katanya.